SELEPAS beberapa bulan melakukan persediaan, akhirnya Putera Harry dan Meghan Markle selamat melangsungkan perkahwinan di Gereja St. George, Istana Windsor di United Kingdom (UK) pada Sabtu.
Ribuan rakyat tidak melepaskan peluang ke istana tersebut untuk menjadi sebahagian daripada upacara perkahwinan diraja, termasuk beberapa bintang terkemuka dunia.
Menurut laporan New York Times, Putera Harry, 33, merupakan cucu kepada Ratu Elizabeth II dan kini bergelar Duke of Sussex, Earl of Dumbarton dan Baron Kilkeel.


Pasangan diraja itu melafazkan ikrar cinta antara satu sama lain dalam suasana penuh bersejarah dan disaksikan secara langsung oleh jutaan penonton di seluruh dunia.
Meghan membawa 10 pengapit kanak-kanak lelaki dan perempuan, termasuk anak kepada Putera William dan Kate Middleton iaitu Putera George dan Puteri Charlotte.
Memetik laporan BBC, Meghan diiring masuk ke gereja oleh bapa Putera Harry, Putera Charles dan kelihatan jelita menggayakan busana perkahwinan yang direka oleh pereka Britain, Clare Waight Keller.
Pasangan itu, Duke dan Duchess of Sussex kemudiannya diarak dengan menaiki kereta kuda melalui semua jalan di Windsor.

Dianggarkan sekitar 600 tetamu yang hadir diantaranya ialah pengacara terkenal, Oprah Winfrey, George dan Amal Clooney, David dan Victoria Beckham serta Sir Elton John.
Selain itu, seramai 2,640 orang awam telah dipilih untuk menyaksikan majlis itu dari luar halaman Istana Windsor. – MYNEWSHUB.CC
