MELAKA – Program secara terus bagi ‘memerangi’ isu kos sara hidup yang dilaksana kerajaan seperti Jualan Sentuhan Rakyat (JSR) berkesan dalam membantu rakyat menangani isu itu justeru lebih banyak program seumpamanya perlu dilaksana terutama melibatkan kerjasama sektor swasta.
Juwairiyah Ahmad, 37, seorang suri rumah dari Kampung Ayer Panas dekat sini berkata sebagai ‘Menteri Kewangan Keluarga’, lebih banyak program seperti itu diperlukan bagi memberikan peluang lebih luas untuk suri rumah sepertinya memilih barang keperluan berkualiti dengan harga yang murah.
Beliau berkata program-program itu juga diharap diadakan secara kerap atau lebih baik dianjurkan di kawasan atau premis yang tetap, malah program secara terus lain seperti Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 perlu diperluas ke kawasan luar bandar.
“Sudah tentu program seperti ini membantu mengurangkan beban suami yang bekerja sendiri menampung kehidupan kami sekeluarga kerana sumber pendapatannya tidak menentu.
“Kerajaan di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebenarnya melahirkan banyak program bantu kos sara hidup tetapi sayangnya ia tidak cukup meluas atau tidak dalam tempoh yang lama sedangkan program ini sebenarnya baik untuk rakyat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui pada program JSR di Ayer Molek di sini. JSR merupakan inisiatif kerajaan bermula Januari lepas dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dengan menawarkan barang keperluan termasuk bawang, tepung gandum, gula, ikan, ayam, beras, telur dan minyak masak pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Seorang pekerja swasta Asiah Sidek, 48, pula berkata program secara terus itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada rakyat seluruh negara yang mana mendidik rakyat agar berbelanja secara berhemah dalam membeli barang keperluan dapur.
“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapatlah memperluaskan lagi program seperti ini dengan mengadakan secara lebih kerap kerana kita dapat peluang mendapatkan barang segar yang lebih murah namun dalam masa sama berkualiti.
“Barang-barang kering termasuk beras, gula, tepung, garam dan minyak dapatlah penjimatan sekurang-kurangnya sehingga Aidilfitri bulan depan,” katanya yang tinggal di Ayer Molek di sini.
Aziz Hashim, 63, dari Kampung Kandang di sini berkata program secara terus bagi ‘memerangi’ isu kos sara hidup itu memberi banyak manfaat kepada kumpulan B40 dan penggiat sektor swasta juga perlu memainkan peranan bersama kerajaan bagi melaksanakan program seperti itu.
“Jika dilihat program seperti JSR ini juga sering mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung dan akan membeli dengan kuantiti banyak, ini akan memberikan ruang pemasaran yang lebih luas kepada peniaga.
“Jadi mengapa tidak peniaga dan orang sektor swasta lain ambil peluang ini untuk menjual barang mereka dengan lebih murah, saya percaya pihak peniaga dan sektor swasta dapat faedah sama dengan rakyat,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berhasrat untuk meneruskan program secara terus seperti JSR di Parlimen itu sebagai program secara tetap sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Selain itu, kami juga akan melakukan penambahbaikan dengan menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain pemain sektor swasta bagi menambah keberkesanan program berkenaan.
“Program JSR pula perlu diadakan sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi membantu menangani isu kos sara hidup terutama kepada rakyat berpendapatan rendah. Barang dijual pula perlu betul-betul lebih murah daripada harga pasaran baru lah ia berkesan,” katanya. – BERNAMA