SEORANG wanita tampil bagi menuntut pemuzik sebuah kumpulan rock segera menunaikan janji dan bertanggungjawab terhadap janin yang sedang dikandungnya hasil hubungan sulit dengan lelaki itu.
Memetik laporan BH Online, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Sofia mengakui kesal kerana lelaki terbabit memutuskan perhubungan mereka selepas berjumpa buat kali terakhir pada 18 April lalu.
“Saya tampil kerana mahu dia bertanggungjawab dan tunaikan janji sejak hari pertama dia tahu saya sudah hamil.
“Dia yang halang saya gugurkan janin ini dan berjanji akan bernikah. Tetapi, selepas kandungan saya masuk lima bulan, dia tiba-tiba berubah,” kata wanita tersebut.

Pada masa sama, wanita terbabit turut menjelaskan bahawa dia seolah-olah hilang punca apabila lelaki yang digelarnya Mr. X itu berubah dan enggan bertanggungjawab.
Malah, dia turut mendedahkan bahawa hubungan mereka semakin dingin selepas lelaki terbabit bertindak merosakkan telefon bimbit miliknya selain menyekat panggilannya.
“Saya buntu kerana tidak dapat bercakap dengannya, malah dia juga melarikan diri. Keluarga dan rakannya juga tidak dapat membantu saya,” ujarnya.
Wanita itu turut mendakwa mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain namun baru menjalinkan hubungan cinta kira-kira setahun lalu sebelum terlanjur.
“Saya tidak pandang rupa dan harta, sebaliknya menerima dirinya kerana dia tidak sama seperti lelaki lain. Saya terpedaya dengan sikap lembutnya.
“Saya tidak minat untuk mengungkit kisah lalu dan kesilapan yang dilakukan. Cuma, saya mahu menuntut hak saya dan bayi yang sedang dikandung ini,” dakwa wanita terbabit.

Enggan mengungkit kembali kisah itu, apa yang diharapkan oleh wanita tersebut adalah pemuzik terbabit bertanggungjawab dan bernikah dengannya supaya anak yang dikandung itu dilahirkan berbapa.
“Bayi ini tidak berdosa dan saya tidak mahu dia malu dengan statusnya apabila besar nanti. Mr. X tidak patut buat begini.
“Saya tidak pernah berkira, malah sudah banyak berkorban terutama ketika dia berdepan masalah kewangan,” tambahnya lagi.
Siapa agaknya gerangan pemuzik yang dimaksudkan itu? Kepada yang dimaksudkan, anda sewajarnya bertanggungjawab terhadap anak yang tidak berdosa hasil benih daripada hubungan itu! – MYNEWSHUB.CC/AM

