PEKAN – Mereka yang pertama kali tiba di perkampungan nelayan Kuala Pahang di sini, pasti kagum dengan suasana jetinya yang setaraf jeti besar.
Jeti di Kuala Pahang dengan binaan bersimen dan dibahagi mengikut zon pemunggahan, pengasingan hasil laut serta bahagian jualan itu ternyata memudahkan pengunjung yang berhasrat mendapatkan hasil laut segar.
Nelayan Kuala Pahang Mohd Ramli Abdullah, 59, berkata mereka yang pertama kali sampai ke jeti itu sukar menerima bahawa jeti asal diperbuat daripada kayu dan sudah usang sebelum diganti baharu pada 1 Ogos tahun lepas.
“Jeti lama menyebabkan tidak ramai yang datang membeli ikan…mereka ingat ini hanya jeti kecil untuk kegunaan nelayan sahaja. Bila orang tidak datang, kami juga yang susah kerana pendapatan tidak seberapa. Sekarang ini, Alhamdulillah kerana pendapatan kami mampu melebihi RM1,000 jika rajin bekerja,” katanya.
Beliau ditemui Bernama pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Bersama Masyarakat Nelayan Kuala Pahang di Medan Ikan Bakar D’Kuala di Kuala Pahang di sini hari ini, yang disertai kira-kira 2,000 nelayan setempat.
Mohd Ramli yang menerima bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan itu serta sebuah bot fiber bagi menggantikan bot kayunya yang sudah uzur berkata bantuan yang diterima daripada kerajaan juga bukan bermusim.
“Sejak menerima bot fiber tiga tahun lepas, saya berani untuk pergi ke tengah laut sedikit berbanding semasa menggunakan bot kayu kerana saya tahu kemampuan bot yang sudah uzur itu, bimbang pula jika berlaku kejadian tidak diingini. Bila ke tengah, sudah pasti tangkapan juga lebih berbanding dahulu,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Abdul Rashid, 49, berkata beliau tidak pernah menyangka keluarganya dapat menetap di sebuah rumah batu sejak tiga tahun lepas, selepas sekian lama berteduh di rumah kayu.
Katanya rumah batu itu menerusi program perumahan komuniti itu adalah ‘hadiah terindah’ untuknya setelah beliau tidak lagi bergelar nelayan selepas mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan jalan raya sekitar 2013.
Beliau berkata pada awalnya beliau yang masih bujang buntu memikirkan nasib yang akan menimpa kerana beliau telah sedekad menyara ibu bapanya dengan hasil laut.
“Tidak lama selepas itu, saya disenaraikan sebagai penerima elaun bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU) bernilai RM400 sebulan. Dengan elaun inilah saya gunakan untuk menyara diri selain selain mengambil upah kerja kampung yang ringan,” katanya.
Pembangunan Medan Ikan Bakar D’Kuala yang bernilai RM6.3 juta dikelolakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merupakan cetusan idea Najib bagi membantu usahawan Bumiputera setempat.
Ia menyediakan lebih 12 ruang niaga merangkumi empat restoran, gerai jualan (empat) dan kilang pemprosesan hasil laut (empat) dengan lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. – BERNAMA