JITRA – Seramai 15 pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka dan Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN) di sini, hari ini menyertai Program Ihya Ramadan bagi membantu warga emas yang terlantar sakit dan golongan kurang berkemampuan.
Presiden Alumni Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Malaysia (ILKBS) Malaysia, Samsudin Oli Mohamed berkata, program yang masuk tahun ketiga ini hasil kesepakatan dari dua institusi pendidikan di negeri ini bagi melahirkan generasi muda yang penyayang dan prihatin kepada masyarakat di luar bandar.
“Tujuan program diadakan adalah untuk membina dan membentuk jati diri serta modal insan kepada pelajar agar timbul keinsafan di dalam diri mereka dan merasai sendiri kepayahan yang dialami golongan warga emas dan kurang mampu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Samsudin berkata, seramai sembilan orang terdiri warga emas dan yang terlantar sakit dari Kampung Jeram dan Kampung Pulau Pisang menerima bantuan berupa barangan keperluan makanan, beras serta barangan dapur untuk meringankan beban yang ditanggung.
Sementara itu, wakil MPP IKBN Naka, Tengku Amirul Shah Tengku Alam,19, berkata, dengan program tersebut beliau lebih yakin untuk melakukan kerja-kerja amal ditambah selepas menyampaikan bantuan kepada warga emas, Darus Osman 65, dari Kampung Pulau Pisang.
Ketua Pengawas SMK Pulau Nyior Muhammad Saniy Samsudin 19, berkata, walaupun sumbangan yang disampaikan tidaklah seberapa, namun ia sangat memberi bermakna kepada penerima untuk digunakan pada Ramadan ini.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Samsudin Oli di nombor 017-4729890 bagi memastikan lebih ramai golongan yang miskin dapat dibantu selepas ini. – BERNAMA