MIRI – Meskipun kesihatan tidak begitu baik dan terpaksa berkerusi roda, sepasang suami isteri warga emas tetap menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tan Kian Piau, 74, dan isterinya, Sim King Hiang, 70, tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang seawal jam 7.30 pagi ditemani anak mereka, Tan Khing Chong, 35.
Beliau berkata, bapanya tidak dapat berdiri lama kerana masalah saraf kaki, manakala ibu pula terjatuh baru-baru ini dan mengalami kecederaan di tulang pinggul
“Sejak semalam, ibu dan bapa berulang kali mengingatkan saya untuk membawa mereka mengundi,” katanya ketika ditemui NSTP di sini.
Sementara itu, Kian Piau berkata, beliau tidak pernah terlepas mengundi pada PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sejak berusia 22 tahun.
“Mesti mahu undi, ini tanggungjawab saya,” katanya ringkas.
Kerusi Parlimen Miri ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, dan Dr. Michael Teo Yu Keng mewakili PKR.
Ada seramai 80,386 pemilih berdaftar bagi Parlimen Miri. – BH ONLINE

