KUALA LUMPUR – MyPPP mengumumkan secara rasmi bakal bergerak sendiri sebagai parti yang menyokong kerajaan sedia ada dan mengakhiri hubungan dengan Barisan Nasional (BN), berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Presidennya, Tan Sri M. Kayveas, keputusan berkenaan dilakukan selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam, yang mengesahkan beliau masih bergelar Presiden MyPPP yang sah.
Hal ini sekali gus menamatkan segala spekulasi dan cubaan untuk mengambil alih kuasa oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti itu sehingga mengakibatkan beliau dipecat bulan lalu.
“Kemelut ini bermula pada 17 April lalu apabila saya sepatutnya mengumumkan MyPPP keluar daripada BN, namun dihalang berbuat demikian sekali gus terdapat cubaan pengambilalihan kuasa.
“Justeru, kami tidak akan berganjak dengan keputusan yang dilakukan pada 17 April itu, malah laman web BN juga telah memadamkan nama saya sebagai Presiden yang sah, bertentangan dengan peraturan RoS.
“Maka, hubungan MyPPP dengan BN telah pun berakhir manakala tujuh kepemimpinan tertinggi parti yang terlibat dalam cubaan pengambilalihan kuasa itu telah dilucutkan keahlian serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MyPPP di sini hari ini. – MYNEWSHUB.CC
