AWAL bulan lalu, dunia gempar apabila Presiden Sudan, Omar al-Bashir memecat Menteri Luarnya sendiri, Ibrahim Ghandour hanya kerana dedah negaranya tiada dana cukup untuk penjawat awam.
Bekas profesor Universiti Khartoum itu dibuang kerja sehari selepas berucap di hadapan sekumpulan ahli Parlimen Sudan apabila mendakwa kerajaan tiada lagi sumber kewangan untuk bayar gaji diplomatnya sejak beberapa bulan.
Ini menyebabkan banyak kedutaan Sudan di pelbagai negara terpaksa ditutup operasi akibat tidak mampu lunas sewa bangunan selain Kementerian Luar panggil balik staf kerana tiada peruntukan untuk bayar gaji mereka sendiri.
Ironi, tidak sampai 24 jam, kekosongan portfolio itu segera diisi oleh Mohamed Abdalla Idris sebagai pemangku sebelum al-Dirdiri Mohamed Ahmed kemudian dilantik pemimpin negara Islam di benua Afrika itu sebagai menteri.
Situasi sama turut berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila Presiden Donald Trump bertindak drastik memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson pada 31 Mac lepas atas sebab tertentu sebelum segera diganti oleh Mike Pompeo.
Sebenarnya bukan luar biasa pun bagi mana-mana pemimpin AS ‘buang’ Setiausaha Negara yang dianggap setaraf Menteri Luar serta individu ketiga berkuasa selepas presiden dan naib presiden jika ada berlaku situasi kecemasan.
Ada bertugas tidak sampai setahun dan lebih teruk, ada yang kurang sebulan. Setakat ini rekod Setiausaha Negara paling lama ialah Cordell Hull ketika era Presiden Franklin Roosevelt antara 1933 hingga 1944 iaitu 4,289 hari.
Itu cerita Sudan dan AS tetapi lain pula di Malaysia apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya ‘tumbang’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu masih tiada menteri luar selepas 12 hari berkuasa!
Lebih lucu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Kabinet Persekutuan baharu pada 11 Mei lalu mendakwa kononnya hanya ada 10 kementerian besar untuk pemimpin PH mengisi jawatan menterinya.
Ini ujar beliau buat permulaan cuma ada Kementerian Kewangan, Dalam Negeri, Pertahanan, Ekonomi, Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia, Sains dan Teknologi serta Luar Negeri.
Ia kemudian ditambah tiga lagi pada 18 Mei lalu selepas ketua kerajaan tertua di dunia itu kemudian menyedari ‘kehilangan’ portfolio Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Malangnya, jawatan Menteri Luar dan Kerja Raya yang asalnya termasuk dalam 10 portfolio utama itu, tiba-tiba ‘ghaib’ malah digantikan pula dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Tenaga Manusia.
Bagaimanapun ketiadaan portfolio Hal Ehwal Luar Negeri dianggap paling pelik kerana kementerian itu sebenarnya amat penting bagi mana-mana negara dalam isu hubungan diplomatik pelbagai hala dan geopolitik antarabangsa.
Hakikatnya belum pernah terjadi dalam sejarah negara kita tiada Menteri Luar, bahkan kementerian itu paling awal dibentuk Perdana Menteri dan Menteri Luar pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menjelang merdeka pada 1957.
Kepentingan portfolio itu malah menyaksikan bangunan asal kementerian di Jalan Dewan Bahasa, di Kuala Lumpur dinamakan Wisma Putra sempena nama tokoh tersebut waima kemudian pindah ke Putrajaya pada tahun 2001 lalu.
Apatah lagi ‘suara’ lantang Malaysia dalam pelbagai forum antarabangsa melibatkan beraneka isu panas global menjadikan Menteri Luar sebagai individu pertama mewakili imej dan memelihara kepentingan strategik negara.
Secara tersirat, kegagalan Mahathir menamakan calon Menteri Luar membayangkan betapa sukarnya mencari pemimpin berkaliber dalam kalangan PH sendiri apatah lagi urusan pentadbiran negara yang jauh lebih kompleks.
Kelakarnya barisan Kabinet Mahathir masih belum lengkap; jauh beza dengan kerajaan BN dahulu sekejap sahaja bentuk jemaah menteri, siap dengan timbalannya sekali. Kali ini ia tidak berlaku kepada kerajaan PH hari ini.
Alasan tipikal Mahathir adalah kerana mengambil masa bagi menubuhkan senarai anggota jemaah Kabinet yang lengkap kerana kononnya setiap parti perlu merujuk parti masing-masing untuk beri nama calon pilihan mereka.
Susah sungguh mahu pilih menteri sehingga mengambil masa berhari-hari. Adakah wujud perselisihan faham serius sesama mereka? Gambaran samar mengenai pertelingkahan antara mereka seolah-olah cuba disorok kerajaan PH.
Agaknya Mahathir mungkin terlupa hendak umum sebagai mana beliau boleh kata terlupa umum namanya sendiri untuk porfolio pendidikan, walhal rakyat terutama penyokong PH sedang menilai apakah sebenarnya yang berlaku.
Ketidakstabilan dalam kalangan pemimpin PH ini menimbulkan persepsi yang mereka sebenarnya boleh pecah bila-bila masa sahaja waima gagal isu mudah iaitu cari calon berwibawa bagi jawatan menteri! – Mynewshub.cc/HAA