RAJA pop negara, Datuk Jamal Abdillah menyeru para peminatnya untuk terus menyokong dan mengundi kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berjalan esok.
Jelas Jamal, kerajaan Barisan Naional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak melakukan perubahan positif sepanjang sembilan tahun memegang tampuk pemerintahan negara.
Beliau malahan berkata, kerajaan BN telah berjaya menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan sepanjang memerintah negara ini.
Justeru, beliau menasihatkan pengundi untuk tidak mempertaruhkan nasib mereka dengan memilih parti pembangkang yang jelas hanya memperjuangkan kepentingan diri dan mengabaikan nasib rakyat.
“Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan, kata manis dan janji pembangkang kerana mereka akan lakukan apa saja untuk mendapatkan kuasa.
“Apabila sudah dapat (kuasa) kelak, nasib kita diabaikan kerana mereka hanya memikirkan kepentingan diri.
“Lihat saja ‘kapal’ mereka yang ada empat nakhoda dan ia menggambarkan betapa sukarnya untuk mentadbir dengan baik sedangkan masing-masing mahu duduk di tampuk pemerintahan,” katanya.
Penyanyi yang dianggap legenda industri muzik negara itu ditemui selepas melakukan persembahan di program Anak Muda Melaka Fest di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka malam tadi.
Jamal turut ditemani isteri tercinta pada majlis berkenaan yang turut menyaksikannya memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-59.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; calon BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Zali Mat Yasin dan Pengarah Logistik BN negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Dalam pada itu, Jamal turut menyeru rakan artisnya untuk tidak mudah terpengaruh dengan agenda pembangkang di media sosial sehingga sanggup bersekongkol dengan pihak tersebut untuk menjatuhkan kerajaan.
Malah, Jamal menganggap tindakan itu sebagai tidak adil memandangkan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan artis dan sering membantu ketika mereka menghadapi masalah.
“Golongan artis banyak menerima bantuan dan ia sudah pasti akan diteruskan oleh kerajaan BN jika diberi mandat pada PRU-14 ini,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ