BONGKAR… Isteri Harvey Weinstein semalam pertama kali mendedahkan tuduhan salah laku seks suaminya yang turut menyebabkan beliau jatuh sakit.
“Berat badan saya susut 4.5 kilogram dalam tempoh lima hari. Saya tidak ada selera untuk makan,” kata Georgina Chapman kepada majalah antarabangsa terkenal, Vogue.
Difahamkan, itu adalah kenyataan pertama pengasas bersama jenama fesyen Marchesa itu, sejak skandal suaminya mula didedahkan pada Oktober lalu.
Akhbar New York Times dan majalah New Yorker adalah yang pertama melaporkan tuduhan salah laku seks Weinstein.
“Kepala saya pening. Ia amat sukar kerana artikel pertama membabitkan kes lama sebelum saya berjumpa dia lagi, justeru saya masih tidak boleh membuat keputusan tepat lagi ketika itu.
“Kemudian cerita itu semakin meluas dan saya mula sedar bahawa kes itu bukan terpencil,” kata pereka fesyen British itu.
Pada hari New Yorker menerbitkan laporan itu, Chapman mengumumkan beliau meninggalkan Weinstein dengan menamatkan hubungan perkahwinan mereka selama 10 tahun.
Perbicaraan perceraian pasangan itu masih lagi berjalan. – Reuters/myMetro Online
