TEGAS… Dalam usaha kekang penyeludupan menerusi bas ekspres dari arah Malaysia, Singapura bakal mewajibkan kenderaan itu yang melalui Pusat Pemeriksaan Tuas menjalani imbasan X-ray.
Ini antara sebahagian daripada rancangan jangka panjang pihak Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam usaha melaksanakan pusat pemeriksaan di republik yang “bersedia untuk masa akan datang”.
Dua mesin pengimbas radiografik sudahpun dipasang di Pusat Pemeriksaan Tuas dan akan beroperasi menjelang separuh kedua tahun ini, menurut ICA dalam satu taklimat media yang diadakan semalam, lapor media.
Pemasangan mesin pengimbas tersebut adalah sebahagian daripada rancangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk memperkukuh prasarana teknologinya, seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2018.
Bas-bas yang datang dari Malaysia termasuk dengan plat pendaftaran Singapura dan bakal melalui Pusat Pemeriksaan Tuas perlu menurunkan semua penumpang mereka di satu tempat baharu terlebih dahulu.
Pemandu kemudian membawa bas melalui mesin X-ray yang akan serta merta menunjukkan imej terperinci kenderaan tersebut. Imbasan itu, bagaimanapun, tidak termasuk tempat duduk pemandu atas sebab keselamatan.
Imej tersebut akan dikirimkan ke pejabat analisis imej dan akan diteliti oleh para pegawai untuk mengesan rokok diseludup, dadah, senjata yang dilarang atau bahan-bahan letupan cuba disembunyikan antara barangan lain.
Tiada pegawai ICA berada di lorong bas dan gerbang imbasan itu. Mereka sebelum ini ditugaskan untuk menaiki bas bagi menjalankan pemeriksaan visual dan kali ini sudah dilatih semula untuk menganalisis imej yang diimbas.
Lorong bas di Pusat Pemeriksaan Tuas juga akan diluaskan daripada dua kepada empat, dengan dua mesin pengimbas yang boleh mengimbas sehingga 1,000 bas sehari, iaitu jumlah yang dijangkakan ICA setiap hari.
Pihak ICA juga membuat perubahan kepada proses pelepasan penumpang dengan menjalankan pemeriksaan bagasi terlebih dahulu. Justeru semua penumpang perlu menjalani pemeriksaan keselamatan yang lebih terperinci.
Ini termasuk mereka melalui gerbang pengesan logam dan imbasan X-ray sebelum pelepasan imigresen di kaunter untuk pengesahan pasport. Buat masa ini, langkah tersebut hanya dijalankan selepas pelepasan imigresen.
Ia juga akan dilaksanakan menjelang separuh kedua tahun ini, menurut ICA. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA