KUALA LUMPUR – Shell Malaysia berkata keputusan pelaburan akhir (FID) yang diambil oleh Sarawak Shell Bhd dan rakan kongsinya ke atas lapangan Gorek, Larak dan Bakong mengesahkan komitmen syarikat itu untuk membangunkan lembangan Sarawak dan memperoleh sumber tenaga bersih untuk masa depan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata Sarawak Shell, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Sapura Exploration and Production (Sarawak) Inc (Sapura E&P) membuat FID ke atas lapangan Gorek, Larak dan Bakong di kawasan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Blok SK408 di luar pesisir Sarawak.
“Dengan ini, terdapat 12 penemuan gas yang penting di Sarawak oleh Shell dan rakan ekuitinya sejak lima tahun lalu,” kata Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo.
Lapangan tersebut akan dibangunkan sebagai tiga platform kepala telaga yang berasingan dan bersambung dengan kemudahan pemprosesan F6 sedia ada yang dikendalikan oleh Sarawak Shell.
Sarawak Shell merupakan pengendali pembangunan dan pengeluaran lapangan Gorek manakala Sapura E&P adalah pengendali pembangunan dan pengeluaran lapangan Larak dan Bakong. – BERNAMA