MENDAPAT sambutan hangat di YouTube, peminat muzik hip hop tempatan nyata teruja apabila showcase program rap 16 Baris diadakan secara percuma di The Bee, Publika, Kuala Lumpur.
Keterujaan itu bagaimanapun bertukar menjadi kehampaan apabila ribuan manusia yang hadir ke lokasi berkenaan gagal memasuki The Bee selepas tempat itu tidak dapat menampung jumlah peminat yang hadir.
Untuk makluman, The Bee merupakan sebuah restoran yang turut dilengkapi dengan pentas persembahan dan baru-baru ini, ruang premis berkenaan telah dibesarkan bagi menampung lebih ramai pengunjung.
Bagaimanapun, konsert berkenaan yang diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua peringkat umur itu menyebabkan terlalu ramai yang hadir dan majoriti dari mereka tersadai di luar.
Dengan barisan artis hip hop ternama seperti Joe Flizzow, DJ Cza, Altimet, A-Kid, Airliftz, Alif dan ramai lagi menyebabkan mereka tidak mahu melepaskan peluang itu.
Ini menyebabkan segelintir daripada mereka yang gagal memasuki ruang persembahan berkenaan bertindak melulu dengan cuba merempuh masuk serta ada yang bertelagah dengan pihak polis yang cuba mengawal keadaan.
Disebabkan kekecohan itu, pihak penganjur telah mengambil keputusan menamatkan showcase berkenaan pada jam 10 malam walaupun sepatutnya ia berakhir pada jam 12 tengah malam.
Susulan berita mengenai ramai yang tidak dapat memasuki ruang persembahan itu, Joe Flizzow selaku penganjur tampil memperjelaskan situasi dan meminta maaf kepada pengunjung yang hadir.
Jelas Joe, perkara yang terjadi itu sememangnya berlaku di luar kawalan pihak penganjur kerana mereka tidak menjangkakan ribuan peminat akan hadir pada malam semalam.
“Ini merupakan showcase pertama yang kami persembahkan dan kami tidak menjangka ribuan peminat yang hadir kerana kami telah mengumumkan bahawa first come, first served.
“Apa yang penting buat masa ini adalah keadaan dapat dikawal dan saya bersyukur tiada siapa yang tercedera.
“Selepas dengar apa yang berlaku di luar, perkara utama yang saya pastikan adalah tiada kaum wanita mahupun anak-anak kecil yang tercedara,” katanya memetik portal Astro Awani.
Keadaan itu telah menyebabkan orang ramai yang gagal menyaksikan persembahan itu meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.
Rata-rata dari mereka mempersoalkan pemilihan lokasi oleh pihak penganjur dan merasakan pihak penganjur sepatutunya lebih bersedia memandangkan program 16 Baris yang selama ini hanya ditayangkan di platform YouTube mempunyai pengikut yang ramai.
Tidak kurang juga mereka yang berpendapat showcase berkenaan sepatutnya diadakan di lokasi luar dan bukan di dalam premis perniagaan yang nyata tidak dapat menampung ramai pengunjung.
Mengulas mengenai perkara itu, Joe mejelaskan bahawa pihak penganjur memilih The Bee untuk showcase pertama ini adalah kerana tidak mempunyai bajet yang cukup untuk mengadakannya di tempat yang lebih besar.
“Ini kerana kami tidak mempunyai dana yang mencukupi. Bajet kami adalah terhad dan persembahan ini tiada penajaan. Jika ada dana yang banyak, kami (pihak pengurusan) akan pilih pentas yang lebih besar.
“Saya ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku malam ini. Apa yang terjadi merupakan perkara di luar kawalan,” jelasnya.
Disebabkan sambutan yang menggalakkan pada showcase pertama ini, Joe tidak menolak 16 Baris akan tampil dengan showcase kedua sekiranya mempunyai dana yang mencukupi.
“Jika kami mempunyai dana yang mencukupi, kami pasti akan merancang sesuatu yang lebih besar untuk showcase kedua,” katanya.
16 Baris merupakan program kolaborasi antara Kartel Records dan Rocketfuel Entertainment yang menghimpunkan artis hip hop dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang diberi peluang untuk rap dengan gaya bebas sebanyak 16 baris.
Siri yang telah dikeluarkan di laman YouTube mereka mencetuskan fenomena sehingga video-video yang dimuat naik mendapat lebih daripada 100,000 tontonan secara purata dan dilanggan lebih 42,000 pengguna YouTube. – MYNEWSHUB.CC/EZ