YANGON – Seorang pengebom yang disabitkan dengan kesalahan meletakkan bahan letupan buatan sendiri di dua kawasan di Yangon dua tahun lepas, telah dihukum penjara berjumlah 20 tahun dengan kerja keras, lapor agensi berita China memetik laporan Agensi Berita Myanmar pada Khamis.
Ko Shwe telah dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah daerah di barat Yangon bagi kesalahan melakukan serangan bom di Ocean Market dalam perbandaran Mayangon pada 17 Jun 2016 dan di kawasan Pejabat Parlimen Wilayah Yangon pada 25 Nov tahun yang sama.
Menurut laporan itu, tiga rakan subahat Ko Shwe turut didakwa melakukan pengeboman di parlimen namun hanya seorang dihukum penjara 10 tahun dengan kerja keras manakala dua lagi dibebaskan daripada pertuduhan. – BERNAMA

