KUANTAN – Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dinamakan sebagai calon parti itu untuk bertanding di Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengumuman itu pada akhir ceramahnya pada Program Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Cenderawasih.
“Kenapa beliau bertanding di sini?… kerana beliau duduk di sini dan ada ilmu, ada kelayakan dan boleh berhujah dengan baik.. beliau tidak senyap. Jadi dia calon yang sesuai untuk bertanding di Indera Mahkota.
“Di Temerloh (kawasan yang ditandingi Nasrudin pada pilihan raya umum lalu) kita juga akan bertanding tapi calonnya akan ditentukan kemudian,” kata Abdul Hadi.
Parlimen Indera Mahkota kini disandang Datuk Fauzi Abdul Rahman daripada PKR.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Jabar berkata PAS akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen di Pahang manakala daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi.
“Kita akan membuat pengumuman calon pada 19 April ini di markas PAS di Kerdau, Temerloh,” katanya. – BERNAMA

