KUANTAN – Mayat penuntut Kolej Vokasional Kuantan yang dikhuatiri lemas di tapak perkelahan Kampung Pasir Kubor, Sungai Lembing semalam, ditemukan pada pukul.12.40 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul berkata mangsa Muhammad Haziq Hamdi, 19, ditemui terdampar di beting pasir kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kali terakhir beliau dilihat.
“Mangsa ditemukan kira-kira lima jam selepas operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada pagi ini. Ibu bapa mangsa yang berada di lokasi kejadian juga telah mengesahkan identiti mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Sani menambah mayat mangsa yang berasal dari Taman Balok Maju di sini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muhammad Haziq dipercayai lemas pada pukul 11.10 pagi semalam, selepas dihanyutkan arus deras kerana tidak menyedari kehadiran kepala air.
Mangsa dikatakan ke tempat perkelahan itu bersama-sama 15 rakannya sempena cuti hujung minggu.
Salah seorang rakan mangsa, Mohamad Shahrel Izwan Mat Alias,19, juga lemas akibat kehadiran kepala air itu, namun dapat diselamatkan oleh orang awam di situ. – BERNAMA

