JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Bezza dipandunya merempuh batu penghadang di Plaza Tol Penawar, Lebuhraya Senai-Desaru, dekat Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata dalam kejadian pada 9.55 pagi tadi, mangsa, Kan Yew Chun, 26, berasal dari Taman Daya, Johor Bahru, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Bandar Penawar menghala ke Senai itu telah hilang kawalan lalu merempuh batu penghadang Plaza Tol Penawar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahsmon berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. – BERNAMA