PUTRAJAYA – Lebih 2,000 masyarakat India dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 telah menerima manfaat daripada program Rumah Ibadat Sebagai Pusat Transformasi sejak ia dilancarkan pada November tahun lepas.
Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) Prof Datuk Dr N. S. Rajendran berkata pelbagai program dilaksanakan di enam kuil yang telah dipilih di bawah program itu, meliputi aspek akademik, kerohanian, memperkasakan ekonomi wanita dan pembangunan kapasiti dalam kalangan belia.
“Antara program yang dikendalikan ialah kelas tuisyen untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, kelas menjahit untuk wanita dan program untuk belia seperti kelas fotografi.
“Sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat sangat baik dengan purata 400 orang mendapat manfaat daripada setiap kuil,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan surat tawaran kepada dua lagi rumah ibadat untuk mengendalikan program itu, di sini hari ini.
Rumah ibadat tersebut ialah Wadda Gurdwara Sahib dan Tamil Methodist Church yang diberi peruntukan tidak kurang RM200,000 dalam tempoh setahun untuk mengendalikan program Rumah Ibadat Sebagai Pusat Transformasi bagi masyarakat Sikh dan India Kristian.
Rajendran berkata Sedic juga sedang berunding dengan komuniti India Muslim untuk melaksanakan program itu di masjid terpilih.
“Mereka dalam peringkat akhir untuk mencalonkan lokasi masjid yang mempunyai ramai masyarakat India Muslim dan berpendapatan rendah B40,” katanya.
Sebelum ini, enam kuil yang terlibat dalam program itu ialah Kuil Sri Thandayuthabani, Batang Berjuntai, Selangor; Kuil Sri Ganesar, Kampung Pandan, Kuala Lumpur; Kuil Ruthra Veera Muthu Mariamman, Sungai Petani, Kedah; Kuil Sri Ganesar, Kuala Kangsar, Perak; Kuil Sri Subramaniar, Masai, Johor; dan Kuil Sri Muniswarar, Prai, Pulau Pinang.- BERNAMA

