PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini melancarkan Komuniti@KKMM yang bertujuan menyatukan semua badan kebajikan di bawah kementerian untuk menjalankan aktiviti secara bersama selari dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Program tersebut merupakan cetusan idea daripada Ketua Setiausaha (KSU) KKMM Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad yang mahu mewujudkan komuniti KKMM yang kreatif dan mempunyai semangat kebersamaan antara gabungan wakil pekerja.
Gabungan wakil pekerja tersebut terdiri daripada Kelab KKMM, Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB).
Timbalan KSU (Operasi) KKMM Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor yang merasmikan pelancaran Komuniti@KKMM mewakili Sharifah Zarah dalam ucapannya berkata program berkenaan adalah platform terbaik untuk kementerian dan agensi melaksanakan penambahbaikan dalam KKMM.
“Di samping itu juga, program ini akan turut dipanjangkan kepada jabatan dan agensi di bawah KKMM untuk dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Sempena pelancaran Komuniti@KKMM, buat julung kalinya juga gabungan wakil pekerja tersebut telah mengadakan program kesedaran kesihatan dengan tema ‘Health is Wealth’ bertujuan memberi kesedaran kepada warga KKMM untuk mengutamakan kesihatan dalam gaya hidup seharian.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut ialah ceramah kesihatan, taklimat insurans berkelompok, pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah. – BERNAMA