KUALA LUMPUR – Penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018 membawa kejayaan dan berita gembira kepada wartawan seluruh negara ini, apabila Hawana diumumkan untuk dijadikan sebagai acara tahunan dengan tarikh ditetapkan pada 29 Mei.
Tanggal 29 Mei sebagai tarikh sambutan Hawana pada setiap tahun adalah antara inti pati Deklarasi Hawana 2018 dipersetujui dan ditandatangani pengamal media dalam satu wacana diadakan bersempena Hawana yang julung kali dianjurkan hari ini.
Ia kemudian dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pelancaran Hawana 2018 yang disambut dengan tepukan gemuruh ribuan pengamal media yang diraikan dalam majlis itu.
Pastinya ia sangat ditunggu-tunggu pengamal media kerana ia memberi pengiktirafan kepada mereka yang menjadi tulang belakang kepada segala acara penting berlaku dalam lipatan sejarah negara.
Timbalan Ketua Wartawan Sin Chew Daily, Andy Jong berkata mewujudkan hari istimewa untuk wartawan adalah sangat bersesuaian dalam meraikan golongan wartawan yang bertungkus lumus menyalurkan berita.
“Sebelum ini, ada yang keliru bila hari wartawan dan adakah hari itu disambut serentak dengan negara lain. Hari ini kita jelas 29 Mei adalah hari sambutan wartawan di Malaysia,” katanya.
Beliau juga berkata Hawana adalah medium terbaik untuk mengeratkan lagi kerjasama dan persahabatan antara pengamal media.
Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan Hari Wartawan bagi meraikan profesion berkenaan.
Dalam konteks itu, katanya pengiktirafan diberi kepada profesion kewartawanan yang seharusnya wartawan profesional yang berpegang kepada etika dan kesahihan.
Beliau seterusnya berharap Hawana dapat membantu menaikkan imej profesion kewartawanan khususnya melalui cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang akan menjadi entiti, antaranya mengawal selia tafsiran berita tidak benar mengikut perspektif wartawan.
“Ini satu pengiktirafan yang cukup besar diberikan kerajaan agar golongan wartawan terus dihormati dan diiktiraf masyarakat,” katanya.
Penerbit China Radio International Lyu Qing berkata usaha kerajaan mengumumkan Hawana yang akan disambut pada 29 Mei setiap tahun, amat bermakna kepada pengamal media.
“Langkah ini amat bagus kerana ia membuktikan usaha untuk menghormati hak dan kepentingan wartawan itu dibela,” katanya.
Dalam deklarasi itu, pengamal media hari ini juga sepakat menyatakan perang habis-habisan terhadap sebarang berita palsu yang direka, mengancam keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Deklarasi tersebut turut menyatakan ikrar wartawan untuk memaklumatkan rakyat dengan berita-berita benar, berdasarkan fakta serta data yang jelas dan nyata. – BERNAMA