BENTONG – Pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan membantutkan pertumbuhan ekonomi di wilayah itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata justeru, cadangan pembangkang untuk berbuat demikian sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah mengejutkan kerana projek tersebut amat dinanti-nantikan oleh rakyat di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Pembangunan di Pantai Barat (khususnya) Selangor dan Kuala Lumpur kini jauh lebih maju ke depan berbanding Pantai Timur dan rakyat di wilayah ini juga mahu pembangunan yang sama berlaku di negeri mereka.
“Oleh itu, projek ECRL ini penting untuk mendekatkan lagi jaringan perhubungan antara Pantai Timur dan Kuala Lumpur khasnya selain meningkatkan lagi unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 1.5 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Satu Blok Bangunan Dua Tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Serting, di sini hari ini.
Presiden MCA itu mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menolak kemungkinan membatalkan projek ECRL yang disifatkan sebagai satu pembaziran jika pembangkang menang PRU14.
Mengulas lanjut, Liow berkata projek bernilai RM55 bilion membabitkan pembinaan landasan sejauh 668 kilometer yang merentasi Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan itu mampu menjadi pemangkin pertumbuhan bandar-bandar baharu di sepanjang laluan.
Katanya ini sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk terutama di bandar-bandar kecil.
“Pembangkang tidak pernah kisah tentang soal kebajikan rakyat, sebaliknya lebih sibuk untuk memainkan isu perkauman dan isu yang tidak benar.
“Mereka menyatakan projek ini hanya menguntungkan negara China sebab landasan dibuat oleh negara itu. Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan pembesaran Pelabuhan Kuantan juga dibuat oleh negara itu sedangkan ini semua tidak benar,” katanya.
Menurutnya, ECRL akan menyediakan pengangkutan darat dengan kos lebih murah berbanding pengangkutan udara yang disarankan oleh Dr Mahathir.
”… perjalanan dari Kelantan sejauh lebih 660 kilometer hanya akan mengambil masa empat jam sahaja,” katanya. – BERNAMA