SIASAT… Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan segera merakam kenyataan pemilik dan juruterbang jet peribadi didakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad konon disabotaj pihak tertentu.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu namun proses siasatan sedang berjalan.
Katanya, sejurus mengetahui perkara tersebut beliau mengarahkan pihak CAAM untuk menyiasat segera kerana dakwaan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), itu amat serius.
“Sepatutnya juruterbang dan pemilik pesawat itu membuat laporan segera kepada CAAM supaya siasatan dapat dijalanka. Namun, walaupun tanpa laporan, siasatan tetap perlu dijalankan untuk pastikan apa yang berlaku.
“Kita bimbang ini hanya sekadar eksploitasi politik dan tidak mahu ada pihak cuba ambil kesempatan musim pilihan raya kali ini,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Mengulas lanjut Tiong Lai berkata, kerjasama daripada juruterbang dan pemilik pesawat terbabit adalah penting bagi melengkapkan siasatan untuk mengetahui sama ada ia cuma kerosakan teknikal atau memang disengajakan.
Semalam, Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang hendak dinaikinya ke Langkawi dari disabotaj, memaksa juruterbang membatalkan penerbangan apabila menyedari yang kerosakan berlaku tidak boleh dibaiki segera.
Bagaimanapun ramai pihak meragui dakwaan tersebut dan ada menyifatkan ia sekadar drama terbaharu Mahathir untuk meraih simpati rakyat dan hasut benci kepada kerajaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
