BANGKOK – Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) tidak menolak kemungkinan bahawa bot membawa etnik Rohingya yang mendarat di Aceh hari ini adalah bot sama yang dilihat berada dekat perairan Phang Nga di Selatan Thailand dua hari lepas.
Sejak dikesan berada berhampiran perairan Phang Nga, bot kaya yang dinaiki kira-kira 60 etnik Rohingya dijejaki oleh radar tentera laut sedang bergerak ke arah selatan ke Satun berhampiran sempadan maritim Thailand-Malaysia dan Langkawi kemungkinan menjadi destinasinya.
“Orang-orang saya di Koh Lipe (dekat Satun) mendapati bot itu tidak bergerak menuju ke perairan Malaysia tetapi sebaliknya menuju ke Aceh,” kata Panglima Tentera Laut Wilayah Tiga RTN, Laksamana Madya Somnuek Prampramote kepada Bernama.
Dari Koh Lipe, bot tersebut perlu belayar sejauh 200 km lagi sebelum merapati perairan Aceh dan menambah beliau yakin bot itu sudah tiba di perairan di Aceh sekarang jika tiada apa-apa bencana datau insiden.
Media antarabangsa hari ini melaporkan sebuah bot membawa 76 pelarian Rohingya termasuk 25 wanita dan lapan orang kanak-kanak telah mendarat di Aceh, di utara Sumatera.
Tetapi tidak jelas sama ada ia adalah bot Rohingya sama yang dikesan oleh kapal RTN di perairan Thailand beberapa hari lalu seperti dilaporkan oleh Bernama semalam.
Awal bulan ini, pihak berkuasa maritim Malaysia menyelamatkan 56 orang pendatang Rohingya yang menaiki sebuah bot di perairan Langkawi.
Kira-kira 700,000 etnik Rohingya fmelatrikan diri dari Wilayah Rakhine sejak Ogos tahun lepas, kebanyakan mereka menuju ke Bangladesh, berikutan keganasan kaum dan pembunuhan yang dikatakan dilakukan oleh tentera Myanmar. – BERNAMA