TAIPING – CyclesDios Berhad dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyediakan 800 buah basikal untuk disewakan kepada pelancong bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan pencemaran di sekitar bandar itu.
Pegawai Perhubungan CycleDios Berhad, Camees Foong berkata basikal tersebut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku terhadap basikal dan penyewanya.
Beliau berkata sebanyak 23 stesen disediakan untuk pengunjung menyewa basikal, dan stesen itu turut memaparkan cara penggunaan dan penyewaan basikal menerusi aplikasi telefon pintar.
“Stesen-stesen ini meliputi laluan Jejak Warisan Taiping sepanjang 15 kilometer,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran perkongsian basikal di Stesen FMS Taman Tasik Taiping di sini hari ini, yang disempurnakan Setiausaha MPT Borhan Abdul Halim.
Foong berkata pihaknya bercadang memperluaskan sistem tersebut di semua daerah di Perak.
Sementara itu, Borhan berkata Taiping menjadi daerah pertama di negeri ini melaksanakan sistem perkongsian basikal berkenaan.
Katanya, pihaknya menandatangani kontrak dengan CyclesDios bagi tempoh tujuh tahun dan penyewa boleh menyewa dan memulangkan basikal di mana-mana stesen yang ada di sekitar bandar ini. — BERNAMA