MESKIPUN sudah 6 bulan kontroversi aplikasi Bigo Live berlalu, namun Fathia Latiff mengakui masih ‘dihantui’ kesilapan lalu.
Menurut Fathia, kesan kesilapannya itu masih dirasai apabila dia terus dihambat dengan pelbagai kecaman masyarakat hingga ke hari ini.
Katanya, implikasi daripada hal tersebut mengakibatkan dia merasa jiwanya seolah-olah ‘mati’ hingga sanggup bertindak memalukan diri.

Namun, Fathia bersyukur kerana Allah segera menegurnya agar tidak terus hanyut di jalan kebinasaan malah lebih mengajar diri untuk terus mendekati dengan sang pencipta.
“Saya kesal kerana terlalu mengikut kata hati hingga tidak lagi kenal diri. Semuanya berpunca daripada salah pergaulan. Saya terlalu naif dan hanya mengikut cakap orang hingga akhirnya, masa depan jadi korban.
“Hari ini, saya menerima balasan dan pengajaran terbesar dalam hidup. Kesannya masih terasa apabila saya dilihat hina pada mata masyarakat. Namun, apa yang berlaku itu juga membawa saya lebih dekat dengan Allah SWT,” katanya dipetik BH Online.

Fathia berkata lagi, dia kini akui tersalah langkah dan insaf sepenuhnya meninggalkan perbuatan yang akan membawa kepada kehancuran diri.
Selain itu, Fathia juga berjanji akan memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih baik selain minta diberi peluang kedua untuk berubah.
“Allah SWT menjentik saya dengan satu kejadian yang membuatkan saya tersedar. Saya mula terfikir satu persatu kesilapan, membuatkan saya malu dengan diri.
“Dari London, saya ke Ireland untuk bertemu adik,Fasiha Latiff. Di situ, saya muhasabah dan mula mendekatkan diri dengan-Nya.
“Saya mahu memperbaiki diri dan tidak ingin mengulangi kesilapan lalu. Pinta saya, berilah peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan,” ujar Fathia.

Sepanjang tahun 2017, Fathia antara yang tidak lepas daripada mencipta kontroversi sehinggakan rata-rata netizen menganggap aktres tersebut sebagai artis paling bermasalah bagi tahun tersebut.
Semoga tahun 2018 ini mampu memberi lembaran baru buat Fathia yang mana memiliki lebih banyak kebaikan kepada diri kelak! – MYNEWSHUB.CC/AM