SINGAPURA – Usaha pihak pemerintah untuk menggalakkan penduduk republik itu untuk memilih makanan yang lebih sihat, nampaknya mula menunjukkan hasil, lapor media tempatan semalam.
Tinjauan terbaharu dijalankan mendapati lebih ramai masyarakat tempatan kini memilih makan nasi beras perang daripada nasi putih. Hidangan berasakan nasi beras perang dikatakan adalah lebih baik dibandingkan nasi putih.
Antara manfaatnya ialah beras berwarna perang lazimnya mengandungi khasiat hampir lima kali ganda serat dan dua kali ganda zat besi berbanding produk beras putih yang biasa dijual di pasaran tempatan sejak sekian lama.
Rangkaian pasar raya NTUC Fairprice milik kesatuan sekerja kebangsaan negara itu yang ditubuhkan pada 1973 lalu, malahan menyatakan bahawa penjualan beras perang meningkat 40 peratus sejak enam bulan lalu.
Amalan pengguna yang gemar mencampurkan beras putih dengan beras perang pula mendorong Fairprice untuk menawarkan campuran khusus beras putih, perang dan merah di sejumlah 100 cawangan premis berkenaan.
Bahkan media tempatan melaporkan trend pelanggan makan di luar rumah bersama-sama keluarga juga kini membolehkan mereka lebih mudah mendapatkan hidangan nasi beras perang di kebanyakan medan selera awam.
Antaranya ialah pusat makanan Koufu di Fusionopolis yang sudah mempunyai empat buah gerai khas yang turut menawarkan pilihan nasi beras perang dan para pelanggan boleh memilihnya tanpa dikenakan kos tambahan.
Para pengendali gerai tersebut berkata penjualan nasi beras perang mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna yang memberi alasan ia lebih menyihatkan dari sudut kesihatan untuk tempoh jangka masa panjang.
Namun harga beras jenis itu agak tinggi dengan jenama biasa seberat dua kilogram dijual paling rendah S$9.25 (RM27.55) berbanding beras putih yang paling murah S$3.15 (RM9.38) untuk sekampit berat satu kilogram.
Kedua-dua Fairprice dan Koufu menjangkakan penjualan akan terus meningkat ketika lebih ramai rakyat Singapura bertukar selera kepada beras perang sebagai makanan utama mereka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA