KUALA LUMPUR – Penerjun elit negara, Cheong Jun Hoong tidak mahu dibayangi gelaran Juara Dunia apabila turun beraksi di temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang bermula dari 4 hingga 15 April ini.
Olahragawati Kebangsaan 2017 itu berkata, status juara dunia yang diraih ketika memecah dominasi penerjun China untuk merangkul pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary tidak memberinya sebarang kelebihan pada temasya itu nanti.
Beliau berkata setiap pertandingan yang disertainya adalah satu permulaan baharu selain meletakkan dirinya sebaris penerjun lain untuk mengelak daripada dihimpit tekanan yang mampu menggugat persembahannya nanti.
“Saya tidak akan bercakap soal sasaran dan tidak fikir saya perlu ataupun saya mesti menang sebab saya tak nak beri banyak tekanan pada diri sendiri. Sudah tentu semua atlet berharap dapat sumbangkan sesuatu untuk negara dan apa yang boleh saya cakap ialah saya akan cuba berikan yang terbaik.
Juara dunia itu cerita lama. Sekali saya dimahkotakan sebagai Juara Dunia, ia tidak bermakna saya akan menjadi juara dunia dalam pertandingan lain sebab setiap pertandingan adalah permulaan baharu,” katanya.
“Tak mungkin dengan status juara dunia saya ini ia akan memberi kelebihan 50 mata atau 100 mata kepada saya sebelum membuat terjunan. Semua penerjun akan bermula dengan kosong mata, jadi saya cuma nak beraksi dengan baik di sana,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How ke Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pada masa sama, penerjun berusia 27 tahun yang akan bertanding dalam acara 10m platform dan 10m platform berirama wanita itu berharap beliau dapat kembali ke tahap kecergasan terbaiknya sebelum berlepas ke Gold Coast.
“Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar, saya berharap dapat pulih sepenuhnya sebelum memulakan terjunan di sana. Saya ada buat rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan mereka banyak beri sokongan kepada saya,” kata beliau.
Ratu terjun dari Perak itu dilaporkan bergelut dengan kecederaan belakang yang dialami sejak Kejohanan Dunia pada Julai tahun lepas.
Untuk rekod, Jun Hoong masih belum berhasil menghadiahkan sebarang kilauan pingat kepada kontinjen negara dalam tiga edisi Sukan Komanwel yang disertainya sebelum ini. – BERNAMA