HADIAH… Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, kelmarin berkata bahawa kerajaan negara Eropah itu secara rasmi menawarkan ganjaran lumayan sebanyak satu juta euro (RM4.8 juta).
Hadiah wang tunai tersebut bakal diberikan kepada sesiapa sahaja yang boleh memberikan maklumat berkaitan kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan kematian wartawan penyiasat terkenal tempatan, Jan Kuciak.
Mangsa yang berusia 27 tahun dan bertugas dengan laman sesawang berita popular setempat Aktuality, dipercayai sedang menyiapkan satu artikel berkaitan penipuan cukai ketika beliau ditembak mati bersama teman wanitanya.
Insiden cukup menggemarkan masyarakat negara itu berlaku di Velka Maca, sebuah bandar kecil dengan kurang 3,000 penduduk sahaja, terletak di barat Slovakia dan 66 kilometer dari ibu kota Bratislava pada 25 Februari lalu.
“Jika kematian Kuciak mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan penyiasat, ia adalah satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan akhbar dan demokrasi di Slovakia,” kata Fico.
Beliau berkata pembunuhan kedua-dua mangsa itu tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Slovakia yang menyertai Kesatuan Eropah (EU) sejak 2004 setelah kejatuhan rejim komunis Soviet Union pada 1990.

Sementara itu, Presiden Kor Polis Slovakia, Tibor Gaspar, memaklumkan dalam sidang akhbar pada Isnin bahawa pembunuhan Kuciak berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai seorang wartawan.
Mangsa adalah wartawan kelima yang dibunuh di blok ekonomi EU sejak sedekad lepas, lapor Wartawan Tanpa Sempadan, sebuah organisasi bukan kerajaan bukan keuntungan yang memperjuangkan hak kebebasan akhbar.
Sementara itu, agensi berita antarabangsa AFP melaporkan sebelum pembunuhan Kuciak, mangsa sedang membuat penyelidikan tentang aktiviti haram kumpulan Mafia Itali di seluruh Slovakia, menurut berita portal yang dibuatnya.
“Dua lelaki datang ke Slovakia sebagai orang dituduh dalam kes Mafia di Itali mendapat akses setiap hari kepada perdana menteri negara itu,” tulis Kuciak dalam artikel berjudul ‘Mafia Itali di Slovakia. Masuk ke Dalam Politik’.
“Orang Itali terikat dengan mafia telah menemui rumah kedua di Slovakia. Mereka memulakan bisnes, menerima subsidi, menarik dana EU, terutama sekali bina hubungan dengan orang berpengaruh dalam politik,” tambahnya.
Kekasih mendiang iaitu Martina Kušnírová dan sebaya usia, turut mati dibunuh. Setakat ini pasukan elit polis Slovakia telah menahan beberapa suspek berketurunan Itali di seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
