KUALA LUMPUR – PAS mendakwa Sinar Harian kini setaraf portal berita pro-Pakatan Harapan seperti Malaysiakini, The Malaysia Insight, Free Malaysia Today dan The Malay Mail yang menerbitkan tajuk berita pertama berunsur fitnah keatas parti itu.
Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Abdul Malik Ab. Razak mendakwa, berita itu kemudian akan ditukar dengan tajuk lain tanpa nama wartawan yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan membentuk persepsi buruk terhadap PAS.
“Inilah strategi yang biasanya digunakan portal Pro PH (pro-Pakatan Harapan seperti Malaysiakini, The Malaysia Insight, Free Malaysia Today dan The Malay Mail. Sepatutnya Sinar Harian tidak terikut dengan budaya media jahat seperti itu,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau merujuk kepada berita Sinar Harian berhubung kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan 1MDB yang didakwa sengaja ditafsir secara salah.
Abdul Malik berkata, orang ramai mudah mempercayai berita pertama yang berunsur fitnah kerana ia akan tersemat dalam minda mereka.
Menurut beliau, berita seperti itu menyebabkan penyokong Pakatan Harapan mengutuk dan menghentam Presiden PAS berasaskan berita pertama yang disengajakan yang merupakan strategi permainan media.
Justeru, katanya, PAS mendesak pihak Sinar Harian segera memohon maaf secara terbuka dengan syarat disiarkan dalam Sinar Harian Online dan dipaparkan di muka hadapan Sinar Harian Cetak.
Terdahulu, beliau mendakwa, berita fitnah itu sangat jelas dirancang apabila Sinar Harian terpaksa mengubah tajuk sebanyak tiga kali “PAS ambil pendekatan berkecuali isu 1MDB”, “PAS ambil pendekatan ‘berkecuali’ isu 1MDB” dan “1MDB: Jangan terus hukum”.
Malah, dakwa beliau, Sinar Harian turut menukar nama wartawan asal yang menulis berita tersebut daripada Muhammad Faiz Sulong kepada wartawan Sinar Harian sahaja tanpa nama wartawan yang bertanggungjawab. – MYNEWSHUB.CC