SELEPAS berjaya merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu, karier Sweet Qismina dijangka meningkat dan mengukuhkan namanya sebaris aktres terkenal tanah air.
Namun, sejak memenangi anugerah tersebut, kelibat Sweet di kaca televisyen semakin berkurangan sehingga ramai menganggap dia menyepikan diri daripada industri selepas kemenangannya itu.

Andaian tersebut dinafikan Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina yang menjelaskan bahawa kemunculannya di kaca televisyen agak terbatas kerana dia sedang sibuk menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Dia yang melanjutkan pengajian di sebuah kolej swasta dalam bidang Komunikasi Massa itu mengaku masih aktif menerima tawaran berlakon namun terpaksa memilih kerana terikat dengan pengajiannya.

“Selepas menang anugerah, saya terus menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta. Jadi, masa saya banyak dihabiskan kepada pengajian.
“Bukan menghilang, sebaliknya ada drama yang sudah tamat penggambaran masih menanti tayangan.
“Tidak dinafikan, masa saya agak terbatas. Produksi pula terpaksa ikut jadual saya yang hanya berlakon pada hujung minggu, memandangkan hari lain saya terikat dengan kelas,” katanya dipetik laporan BH Online.
Tambah Sweet, dia sudah berhasrat untuk menyambung pengajian sejak sebelum memenangi anugerah itu dan kejayaan itu tidak menyebabkan dia mengubah pendiriannya.
Ujarnya, dia kini hanya menyerahkan masa depannya dalam dunia lakonan kepada rezeki dan sentiasa bersedia sekiranya kariernya dalam bidang lakonan tidak berhasil di masa hadapan.

“Ramai memberitahu, saya harus merebut peluang untuk kejar impian selepas menang anugerah. Tetapi, saya ada pendirian tersendiri. Saya hanya berserah kepada rezeki. Jika masih ada, saya akan teruskan.
“Andai sebaliknya, saya tidak perlu gusar kerana sudah ada perancangan lain selepas tamat pengajian dua tahun lagi.
“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran walaupun sibuk belajar. Saya perlu pandai membahagikan masa kerana tidak mahu terkejar-kejar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sweet berkata dia kini sedang sibuk dalam proses penggambaran drama 100 episod, Cinta Tiada Ganti serta bakal muncul dalam drama 50 episod, Cinta Koko Coklat, bulan depan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

