SEREMBAN – Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM50 juta setiap tahun kepada sekolah mubaligh di seluruh negara sejak 2009 sehingga sekarang bagi membaiki serta mempertingkatkan kemudahan di sekolah berkenaan.
Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata peruntukan itu bermula sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri pada April 2009, dan sehingga kini sebanyak 400 sekolah mubaligh telah mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
“Kerajaan menghargai peranan sekolah mubaligh, kerana ia merupakan antara yang paling awal menyediakan pendidikan terbaik di negara ini. Hakikatnya kerajaan memberi sokongan yang berterusan kepada sekolah mubaligh dalam menghargai sumbangannya yang tidak ternilai dalam menyediakan pendidikan kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan persidangan ke-7 Pendidik Lasallian 2018 (MaLEC 2018) di sini hari ini.
Sementara itu 120 delegasi dari seluruh Semenanjung Malaysia menghadiri eidisi ke-7 MaLEC itu yang berfokaskan pendidikan untuk keamanan, keadilan dan kemanusiaan yang mencerminkan falsafah yang mendasari pendidikan Lasallian.
Persidangan itu mengupas beberapa topik seperti sekolah sebagai komuniti pembelajaran profesional, mengubah bilik darjah menggunakan alat pintar, trend dan cabaran. – BERNAMA