SAKITNYA baca tajuk, sakit lagi ‘azab’ seorang warga emas ini yang terpaksa menahan kesakitan selepas kemaluannya membengkak akibat tersangkut pada muncul sebuah botol air mineral.
Dalam kejadian awal pagi ini di Sibu, Sarawak, mangsa yang merupakan lelaki berusia 73 tahun terpaksa dirujuk ke hospital selepas usahanya mengeluarkan kemaluan dari botol itu gagal sehingga menyebabkannya membengkak.
Menurut sumber yang dipetik sebuah portal berita, perbuatan pelik warga emas terbabit dilakukan sendiri oleh dirinya tanpa diketahui tujuan sebenar.
“Apabila tidak tahan lagi menanggung kesakitan, mangsa mengambil keputusan datang ke hospital untuk mendapatkan bantuan mengeluarkan kemaluannya.


“Dia (mangsa) hanya suka-suka sahaja memasukkan botol itu pada kemaluannya pada lewat malam tadi sebelum mengadu sakit apabila alat sulitnya membengkak lalu datang ke hospital pukul 6 pagi ini,” kata seorang jurucakap di Hospital Sibu.
Sementara itu, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Misran Bisara, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.21 pagi.
Menurutnya, operasi menanggalkan botol tesebut mengambil masa sekitar lima minit dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Kita menggunakan peralatan khas bagi memotong ‘cincin’ berkenaan dan operasi itu mengambil masa beberapa minit sahaja kerana kepala botol berkenaan diperbuat dari plastik.
“Namun, kita tetap mengambil langkah berhati-hati kerana ia membabitkan anggota badan yang sensitif,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

