KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meraikan 111 pasangan pengantin yang terlibat dalam Program Perkahwinan Perdana TTB dalam majlis resepsi yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Majlis resepsi itu diadakan bersempena majlis penutupan Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini sejak 25 Februari lalu dan berakhir pukul 6 petang esok.
Ketibaan Perdana Menteri pada 12.30 tengah hari disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersama isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria.
Najib turut mengambil peluang menepung tawar pasangan pengantin yang juga atlet angkat berat Terengganu, Azmer Abdul Rahman, 26, dan pasangannya Norasyikin Nabila Rahimi, 18, juga atlet angkat berat negeri ini.
Azmer, merupakan pemenang pingat perak acara angkat berat 130 kilogram (kg) Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang, manakala isterinya mewakili Terengganu pada Sukma 2018 yang akan berlangsung di sini.
Pada majlis itu, perdana menteri turut berkesempatan menyampaikan replika kad nikah, sijil SSP-BSN dan sijil penyertaan kepada wakil pengantin.
Perdana Menteri meninggalkan majlis berkenaan pada 1.05 tengah hari .
Sehingga tahun lalu, seramai 542 pasangan pengantin telah dinikahkan dalam program berkenaan iaitu 217 pasangan pada tahun 2016 dan 271 pada 2017. – BERNAMA

