UNIK… Lokasinya terletak berhampiran sahaja dengan pantai Laut Hitam, wujud sebuah perkampungan kecil di Turki yang lebih dikenali sebagai Kuskoy.
Kebanyakan penduduk setempat di sini hanya menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan utama keluarga. Rata-rata daripada mereka banyak yang mengusahakan tanaman teh dan kacang hazelnut.
Meskipun terletak jauh di pedalaman, Kampung Kuskoy mempunyai tarikan tersendiri yang tidak ada di tempat lain. Sekiranya anda berpeluang ke sana, pasti dibuai keasyikan bunyi kicauan burung bersahut-sahutan.
Ia seolah-olah sedang bercakap antara satu sama lain. Rasa-rasa anda, adakah bunyi tersebut datangnya daripada seekor burung? Tapi, apakah pandangan anda jika siulan yang dialunkan itu dilakukan oleh manusia?
Siapa sangka, kemerduan siulan itu datangnya daripada manusia, iaitu penduduk Kuskoy. Selain bertutur dalam bahasa ibunda, masyarakat di sini menggunakan bahasa siulan burung untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Istimewa lagi, komunikasi pelik ini bukan perkara baharu di sana sebaliknya, telah diamalkan sejak turun-temurun lagi. Sebenarnya ada sebab tertentu penduduk di sini masih mengamalkan perbualan bahasa burung tersebut.
Mungkin orang luar menganggap ia suatu perkara yang pelik tetapi, tidak sama sekali bagi masyarakat di kampung kecil ini. Ia dianggap sebagai suatu bahasa istimewa yang mampu merapatkan hubungan antara satu sama lain.
Misalnya, dengan bersiul mereka dapat meminta bantuan daripada jiran tetangga, menyebarkan sesuatu berita penting atau tujuan kecemasan. Sehingga hari ini, warga Kuskoy masih menggunakan siulan untuk berkomunikasi.
Mereka berusaha melestarikan bahasa burung kepada keluarga agar cara berkomunikasi unik ini tidak hilang ditelan zaman. Siulan diamalkan sebahagian besar penduduk sudah tentu menarik perhatian penyelidik dari seluruh dunia.
Salah seorang daripada mereka yang berminat untuk mengetahui rahsia bahasa ini ialah Profesor Onur Gunturkan dari Universiti Bochum, Jerman. Beliau sanggup habis masa lama demi mendalami dan merungkai komunikasi itu.
Menurutnya, bahasa berkenaan sangat unik dan memiliki rahsia tersendiri. Justeru, dia terpanggil untuk melakukan kajian lanjut tentang bahasa istimewa ini. Penyelidikan beliau pernah diterbitkan dalam Cell Press Journal Biology.
Berdasarkan pemerhatian, Gunturkan memberitahu bahawa kaedah komunikasi ini memang popular sejak ribuan tahun lagi. Bunyi siulan burung ini malahan dipraktikkan sebagai cara untuk berkomunikasi pada jarak jauh.
Bayangkan, hanya dengan satu siulan sahaja, ia boleh didengari pada jarak 50 hingga 90 meter. Meskipun lokasi tersebut dikelilingi oleh bukit-bukau, ia masih dapat lagi didengari dengan jelas oleh penduduk kampung itu.
Beliau menjelaskan, bunyi siulan ini mempunyai melodi tertentu dan ia sangat sukar difahami oleh orang biasa. Bahkan sehingga hari ini Gunturkun sendiri mengakui masih mempelajari kaedah komunikasi tersebut.
Bahasa burung yang diamalkan ramai penduduk di Kuskoy turut telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO) yang beribu pejabat di Paris, Perancis.
Hasil kajian badan dunia itu mendapati hampir 10,000 orang penduduk di sekitar wilayah Canakci masih lagi terus mengamalkan bahasa unik tersebut. Pengiktirafan itu disambut baik Menteri Kebudayaan Turki, Numan Kurtulmus.
Usaha UNESCO ternyata memelihara bahasa berkenaan. Menurut beliau, bahasa burung telah diamalkan sejak berabad-abad tahun lamanya dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran dengan Laut Hitam.
Dia berasa berbangga kerana komunikasi tersebut diiktiraf sebagai salah satu warisan penting yang perlu dilindungi. Selain penduduk Kuskoy, bunyi siulan turut diamalkan oleh masyarakat di Trabzon, Rize, Ordu, Artvin dan Bayburt.
Sejak tahun 1997, Festival Bahasa Burung turut dianjurkan kerajaan Turki setiap tahun di Kuskoy. Acara unik itu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap kepentingan bahasa nenek moyang mereka.
Di samping itu, beberapa buah sekolah tempatan di sekitar kawasan itu turut giat memperkenalkan bahasa siulan kepada murid mereka dalam kurikulum pendidikan untuk terus dipulihara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA