KANGAR – Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kini berdepan masalah kewangan yang serius ekoran satu daripada penaja utamanya menarik diri pada saat akhir.
Presiden PFA Ir. Shaharuddin Ismail berkata sehingga kini pihaknya masih berusaha menyelesaikan masalah bayaran gaji pemain yang tertunggak sejak lebih sebulan lalu.
“PFA telah berbincang dengan banyak pihak dalam menyelesaikan masalah ini dan kami juga memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana kita semua tahu bola sepak diminati seluruh rakyat Perlis.
“Masalah ini timbul apabila pihak yang berjanji menarik diri sedangkan mereka sepatutnya menjadi penaja utama yang mampu menampung perbelanjaan PFA untuk sepanjang musim ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sehubungan itu beliau berharap semua pihak termasuk peminat bola sepak Perlis memahami situasi dihadapi PFA dan terus memberikan sokongan kepada pasukan Singa Utara tersebut walaupun hanya sekadar berada dalam Liga FAM. – BERNAMA