SELANGOR sekali lagi cipta sejarah apabila ‘mewah dibanjiri’ air meskipun tiada hujan berlaku sekali gus membuktikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azmin Ali hebat mengurus isu bekalan air!
Malangnya limpahan air tersebu gagal dimanfaatkan jutaan rakyatnya bahkan menyebabkan kesesakan teruk lebih lima kilometer di laluan lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 atau MRR2 dari arah Hulu Klang ke Ampang.
Ia meletus akibat kejadian paip pecah berhampiran dengan Dataran Ukay, dekat ibu negara awal pagi Jumaat ketika menjelang ribuan pengguna kenderaan mula sibuk keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja masing-masing.

Jurucakap pihak pengurusan sistem maklumat pengangkutan bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, paip pecah itu menyebabkan laluan tiga lorong MRR2 berhampiran Dataran Ukay ditenggelami air.
Paip berkenaan dipercayai pecah di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) kira-kira jam 5 pagi. Ia turut menyebabkan sebahagian besar lorong kiri di laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.
Sehingga pukul 9.30 pagi tadi, laluan MRR2 berkenaan masih lagi ‘meriah’ dipenuhi bah dan kebanyakan pengguna laluan terbabit terpaksa meredah air yang bertakung seumpama banjir itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

