NABIL Ahmad sememangnya seorang yang mempunyai visi dan misi yang kukuh untuk terus menapak dan relevan di dalam industri hiburan tanah air.
Hampir sepuluh tahun bekerja keras, hari ini Nabil, 34, boleh berbangga kerana bergelar ‘triple threat’ iaitu sebagai pelakon, pelawak dan pengarah!
Bahkan, sebelum ini Nabil juga pernah terlibat di belakang tabir produksi sebagai penerbit program TV dan sebuah supertelefilem berjudul The Hantus menerusi syarikat produksinya, Nabil Ahmad Production.
Selepas tamat penggambaran naskhah tersebut, Nabil bakal duduk di atas kerusi pengarah untuk filem sulungnya, Qutil.
Qutil adalah sebuah filem bergenre seram dan yang menariknya, pembikinan filem seram itu akan membabitkan produksi Indonesia dan penggambaran dijangka bermula selepas Aidilfitri ini.
Oleh itu, Nabil berkata dia kini mahu beralih fokus kepada bidang pengarahan sahaja.
“Banyak yang saya pelajari sejak menceburi dunia produksi dan mendapati kerja di belakang tabir sebenarnya seronok.
“Saya selalu bergaul dengan pengarah dan banyak mempelajari selok-belok bidang ini daripada mereka,” katanya.
Dari sudut pra-produksi pula, Nabil berkata dia mahu mengupah pelukis papan cerita profesional untuk memastikan kerja produksi menjadi teratur dan menjimatkan masa.
Selain itu, Nabil bukan sahaja mengarah, malah pelawak itu turut menulis jalan cerita Qutil.
Menurutnya, filem itu masih di tahap perbincangan dan belum ada senarai pelakon.
Mengenai supertelefilem The Hantus pula, idea menghasilkan cerita tersebut datang ketika menonton video kejadian mistik di sebuah balai polis di YouTube.
“Berbeza dengan cerita seram lain, supertelefilem ini mengisahkan aktiviti makhluk ghaib di alam mereka. Saya cuma mahu mengetengahkan karya segar dan tidak klise,” katanya.
The Hantus bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First pada bulan Jun ini. – MYNEWSHUB.CC