DI SEBALIK episod duka yang melanda kehidupan peribadinya, akhirnya kegembiraan kembali menyapa penyanyi Sufian Suhaimi apabila dia mendapat beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD).
Memetik laporan mStar Online, Sufian berkata dia dihujani dengan pelbagai tawaran untuk melanjutkan pelajaran daripada beberapa universiti awam dan swasta sejurus selepas tamat pengajian Ijazah Sarjananya dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pada Februari lalu.
“Alhamdulillah ada beberapa universiti menawarkan saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD walaupun saya baru sahaja menamatkan pengajian di peringat Ijazah Sarjana.
“Ada beberapa tawaran menarik diberikan termasuk biasiswa penuh dalam bidang komunikasi dan pengurusan. Saya menganggap ini sebagai rezeki kerana bukan mudah untuk mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke PhD,” kata Sufian.

Meskipun begitu, Sufian terpaksa melupakan hasratnya terlebih dahulu kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada kariernya yang sedang meningkat naik.
Kata Sufian, kepadatan jadual kerja buat masa ini membuatkan dia risau jika tidak dapat membahagi masa dengan baik kelak.
“PhD bukannya mudah dan saya perlu betul-betul memberi komitmen kepada pelajaran sekiranya saya terima tawaran diberikan.
“Berat juga hati melepaskan peluang diberikan tetapi saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada karier nyanyian terlebih dahulu.
“Tambahan pula sekarang banyak perancangan yang telah disusun dan jadual sangat padat buat masa sekarang,” katanya.
Pun begitu, Sufian memberitahu bahawa dia akan tetap menyambung pengajiannya apabila tiba masa yang sesuai nanti. – MYNEWSHUB.CC/AM