MELAKA – Kerajaan negeri Melaka memperuntuk kira-kira RM750,000 untuk disumbangkan kepada 1,500 orang jemaah haji yang menerima surat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu pada musim 1439 Hijrah.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata peruntukan berkenaan merupakan inisiatif kali pertama yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha meringankan beban kewangan jemaah dari negeri ini.
“Peruntukan ini merupakan wang daripada kumpulan yang disatukan untuk disumbangkan kepada jemaah haji terpilih dan sudah menerima surat tawaran daripada TH.
“Kita menganggarkan kira-kira 1,500 jemaah haji dari negeri ini bakal dipilih oleh TH untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini berbanding 1,440 orang pada tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Haji peringkat Melaka di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin.
Kira-kira 3,036 orang dari 12 masjid utama di negeri ini mengikuti kursus asas haji itu yang dikendalikan TH.
Mengulas lanjut, Idris berkata semua jemaah yang akan menunaikan haji dinasihatkan memberi penekanan terhadap aspek kesihatan agar dapat menjalankan ibadah tersebut dengan sempurna dan baik.
Beliau berkata jemaah perlu mempunyai tahap kesihatan fizikal, mental dan kerohanian pada tahap terbaik sepanjang berada di Tanah Suci. – BERNAMA

