ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di perairan Pulau Bunting dekat Yan pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah Left Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata mayat yang belum diketahui identiti itu ditemui pada 8.50 pagi tadi oleh seorang nelayan di perairan itu.
“Bilik operasi Wilayah Utara telah menerima panggilan daripada seorang nelayan pada jam 8.50 pagi sebelum disalurkan kepada Pangkalan Maritim Kuala Kedah.
“Aset APMM iaitu Bot Kilat 7 dengan beberapa anggota digerakkan ke lokasi dan menemui mayat yang terapung lebih kurang lapan batu nautika dari barat daya pantai Kuala Kedah.
Anggota itu kemudian segera memberi bantuan dengan membawa naik mayat itu dan membawa mayat itu ke jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Kamal berkata mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya datang ke Jabatan Forensik HSB untuk membuat pengecaman dan mengenal pasti mayat yang dijumpai itu. – BERNAMA