KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan hari ini memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) menjawab permohonan mereka mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Pakatan Harapan yang difailkan pada 21 Februari lepas.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pakatan Harapan berkata mahkamah menetapkan 15 Mac untuk pengurusan kes bagi semakan kehakiman itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar hakim yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang bertindak bagi pihak RoS.
Dalam permohonan itu, Parti Harapan menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon manakala RoS selaku responden tunggal.
Kesemua pemohon menuntut deklarasi bahawa tindakan RoS yang tidak mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar dan membalas surat bertarikh 6 Februari 2018 adalah bercanggah dengan kewajipan statutori dan harapan sah mereka.
Mereka juga menuntut deklarasi tindakan itu tidak munasabah, mala fide, dan menuntut perintah mandamus bagi mendesak RoS mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 selain menuntut kos dan perintah lain yang sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

