GERIK – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan dengan cuai melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang rakannya pada 18 Feb lalu.
Tertuduh Mohd Fitri Osman, 26, yang bekerja sendiri mengangguk faham dan mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah dengan cuai yang tidak terjumlah menyebabkan kematian Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, di kawasan Hutan Sungai Tera, Lebuhraya Gerik-Kupang di sini lebih kurang 10.30 malam, 18 Feb lalu.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Raja Shahril menetapkan 2 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan keputusan ujian Asid deoksiribonukleik (DNA), bedah siasat serta perubatan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Muhammad Azaili Alias, 31 yang didakwa secara berasingan mengaku bersalah menghadapi dua pertuduhan memiliki selaras senapang patah serta 19 butir peluru hidup, yang menyalahi undang-undang.
Muhammad Azaili didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di lokasi sama antara 7.30 hingga 10.30 malam pada tarikh sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, iaitu boleh dipenjara hingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret menetapkan 2 April untuk sebutan semula serta menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod. – BERNAMA

