WASHINGTON – Seorang lelaki maut selepas menembak dirinya di laluan pejalan kaki yang sibuk berhadapan Rumah Putih semalam, kata pihak berkuasa.
“Seorang lelaki dewasa disahkan mati,” kata Jabatan Polis Washington DC di Twitter rasminya.
Perkhidmatan Rahsia berkata lelaki kulit putih itu dipercayai pergi ke pagar di bahagian utara Rumah Putih pada kira-kira jam 11.46 pagi (waktu tempatan), mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa tembakan.
Tiada satu pun tembakan yang dihalakan ke Rumah Putih.
Identiti lelaki berkenaan masih dirahsiakan bagi mendapat pengesahan waris, kata Perkhidmatan Rahsia.
Ketika kejadian, ratusan pelancong berada di Pennsylvania Avenue berhampiran Rumah Putih, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Presiden Donald Trump dan wanita pertama, Melania berada di resort Mar-a-Lago di Florida ketika kejadian.
Gangguan di sekitar Rumah Putih bukan perkara baru. Pada 23 Februari lalu, seorang wanita ditahan selepas merempuh penghadang keselamatan dengan keretanya berhampiran kediaman presiden. – AFP/myMetro Online

