SHAH ALAM – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Selangor meminta orang ramai supaya tidak bimbang dan panik dengan kehadiran ramai anggota polis di beberapa lokasi awam di negeri ini pada hari ini dan esok kerana pasukan itu sedang menjalankan latihan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Mazlan Mansor latihan dua hari itu turut membabitkan beberapa ‘insiden’ yang bertujuan menentukan kesiapsiagaan dan kecekapan polis dalam mengendalikan sebarang situasi.
“Dalam latihan amal “Ex-Undi Per PRU Ke-14’ beberapa ‘insiden’ dirangka dan disuntik kepada semua bilik gerakan termasuk di semua unit yang ada bagi menentukan kesiapsiagaan dan kecekapan pasukan polis Selangor dalam mengendalikan sebarang situasi pada tahap maksimum.
“Latihan di seluruh negeri ini juga bertujuan membolehkan kita menilai dan menguji keberkesanan perancangan dan tindakan pasukan ketika berhadapan dengan apa-apa situasi yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, pihaknya akan menguji pelan tindak balas pasukan polis di setiap daerah supaya mengikut prosedur yang telah ditetapkan selain mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan termasuk dalam rangkaian komunikasi sedia ada. – BERNAMA