PREMIS yang menjual peralatan cermin mata di sebuah lot kedai empat tingkat telah musnah dalam kebakaran di Jalan Padas Segama, Kota Kinabalu, jam 8.15 pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.29 pagi.
“Empat buah jentera dengan kekuatan seramai 28 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan dari orang awam.
“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran ini membabitkan sebuah lot kedai empat tingkat yang musnah seratus peratus namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya pada akhbar tempatan.
Ujarnya lagi, kebakaran tersebut berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran pada jam 8.51 pagi.
Operasi tersebut telah berjaya ditammatkan sepenuhnya jam 9.07 pagi.
Punca dan jumlah kerugian sebenar dalam kejadian itu masih dalam siasatan.
Niat untuk menggunakan sebuah mesin baru sahaja dibeli oleh pemilik kedai berkenaan tidak kesampaian kerana telah musnah dijilat api. – MYNEWSHUB.CC/MIZE