PRESIDEN Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Datuk Jurey Latiff Rosli menggesa pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) agar isu agihan pawagam dibangkitkan pengarah, Ahmad Idham diselesaikan dengan segera.
Menurut beliau, isu saling mencabar antara satu sama lain yang membabitkan Idham dan Pengerusi Skim Wajib Tayang, Zahrin Aris dilihat sebagai tidak sihat terutamanya bagi perkembangan industri perfileman.
Baca: Pengerusi Skim Wajib Tayang Cabar Ahmad Idham
“Saya difahamkan sebelum ini memang ada perbincangan membabitkan Idham dan Skim Wajib Tayang, tetapi jumlah pawagam yang dipohon Idham gagal mendapat persetujuan.
“Mengikut akta Finas, Skim Wajib Tayang sepatutnya dapat menjamin hak penerbit filem tempatan untuk mendapatkan tayangan di semua pawagam seluruh negara, tanpa ada pengecualian.
“Pawagam pula wajib menayangkan filem diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan (produk daripada penerbit) yang memohon tayangan menerusi Skim Wajib Tayang Finas,” katanya dipetik BH Online.

Tambah Jurey, inisiatif kerajaan sudah jelas dalam membantu industri perfileman tempatan, justeru sepatutnya tiada masalah untuk Idham mendapat jumlah pawagam yang dipohon.
Sehubungan itu, Jurey menggesa pihak Finas agar tidak memandang remeh berhubung perkara ini dan segera mencari jalan penyelesaian demi kepentingan industri.
Juga: Ahmad Idham Tak Puas Hati, Mahu Lapor SPRM
Terdahulu, Idham memberitahu dia bakal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung hal itu dalam masa terdekat.
Beliau mahu pihak SPRM menyiasat jawatankuasa berkenaan yang didakwa bersikap tidak adil dalam membuat keputusan berhubung jumlah pawagam bagi tayangan filem terbaharunya.
Idham turut mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan jawatankuasa yang dilantik sebagai pelaksana dalam skim berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/AM
