KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali hari ini dipenjara lapan bulan dan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium kesemuanya bernilai hampir RM2 juta.
Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Syed Afendy Ali, 56, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM10,000 bagi kelapan-lapan pertuduhan itu dan jika gagal membayar denda dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman berkenaan berjalan serentak berkuatkuasa hari ini.
Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Syed Afendy Ali untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap tertuduh selain turut memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali, yang ketika itu Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini.
Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, 75; Mazwan Amin Mohd Noor, 46; Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali; 30, dan Rodziah Abd Samad, 56.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL, di sini, di antara 6 September 2013 dan 16 Oktober 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, mahkamah melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali, yang ketika kejadian bertugas sebagai Timbalan Bendahari di Jabatan Kewangan DBKL daripada menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu unit kedai pejabat tiga tingkat di Pusat Perdagangan Danau Lumayan Avevue, Bandar Tun Razak bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan untuk Rodziah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Bahagian (Pembangunan & Penswastaan), Jabatan Kewangan DBKL pada 2 Mac 2009 dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama.
Tertuduh turut dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 (Akta 613) membabitkan RM1.5 juta.
Syed Afendy Ali, yang diberi peluang oleh mahkamah untuk merayu bagi mengurangkan hukuman memohon supaya dia tidak dipenjarakan dan diberikan denda minimum atas alasan dia tidak mampu membayar denda.
“Sejak kena tangkap, hidup saya susah dan saya hilang segalanya. Saya hilang kawan-kawan saya dan hanya isteri dan anak-anak saya yang datang ke mahkamah hari ini. Saya mohon denda minimum kerana hutang saya keliling pinggang,” katanya yang kelihatan sugul sepanjang prosiding itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah menggunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri. – BERNAMA