SEORANG wanita berparas cantik dan bertudung ditahan di sebuah pusat pemeriksaan sebuah lapangan terbang di Indonesia apabila cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.08 kilogram.
Dalam kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Juwata, Tarakan, Kalimantan Utara, wanita itu ditahan selepas bersikap mencurigakan ketika di tempat pemeriksaan X-Ray di balai berlepas lapangan terbang itu.
Selepas begnya diperiksa, dadah jenis syabu tersebut dijumpai cuba diseludup menggunakan alatan mekapnya seperti bedak, sabun dan kotak tisu basah.

Menurut Ketua Keselamatan Lapangan Terbang Juwata, Elfi Amir, ketika ditahan, suspek dalam perjalanan ke Makassar dan dijadualkan berlepas menaiki pesawat Lion Air 739 bersama bungkusan dadah tersebut.
“Petugas lapangan terbang sudah curiga dengan perilaku pelaku. Mereka lalu memeriksa beg tangan dan beg pakaian milik pelaku.
“Ada kotak tisu dan botol bedak yang mencurigakan. Setelah isinya diperiksa dan dipegang ada barang lain. Ternyata isinya syabu. Setelah ditimbang beratnya mencapai 1.08 kg,” katanya memetik Tribun News.
Suspek yang dikenali sebagai Andi Riski Amelia dan mengenakan selendang berwarna coklat dan baju berwarna kuning itu kemudiannya cuba memberi alasan kepada pihak berkuasa bahawa barang tersebut bukanlah miliknya.
Sebaliknya, dia hanya berniat untuk ke Makassar untuk pulang selepas untuk menemui rakannya di Tarakan untuk berbincang mengenai perniagaan atas talian.
Namun, kata Elfi, pihaknya tidak percaya akan keterangan yang diberikan wanita tersebut kerana riak wajahnya yang tenang dan tampak profesional.
“Sepertinya dia ini profesional, kerana dia langsung tidak terlihat gugup, dan tak terasa beban saat disoal siasat.
Semua hasil penyelidikan diserahkan kepada petugas badan narkotik Kaltara dan Balai Polis Tarakan bagi menyiasat dari mana dia mendapatkan syabu ini,” ujarnya.
Selepas diperiksa dan disoal siasat di lapangan terbang itu, suspek kini berada dalam tahanan pihak polis Tarakan untuk tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC/EZ