RIYADH – Selepas berjaya memperkenalkan kad pengenalan elektronik (eID) sejak 2007 dengan ciri-ciri canggih termasuk aplikasi biometrik, Arab Saudi mula melancarkan versi yang baharu.
Namun kali ini Biro Hal Ehwal Awam, Kementerian Dalam Negeri menampilkan tulisan rumi dalam bahasa Inggeris untuk nama penuh pemegang kad identiti berkenaan dan tarikh kelahiran mengikut standard kalendar Gregorian.
Dokumen eID generasi baharu yang julung kali diwujudkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi itu mula dikeluarkan semalam dan ia kemungkinan demi memudahkan urusan pengenalan pemiliknya jika berada di luar negara.
Sebelum ini, segala maklumat dipaparkan hanya dalam tulisan bahasa Arab termasuk angka rujukan tarikh yang mengikut takwim Hijrah. Kad itu dikeluarkan oleh firma keselamatan digital terkenal, Gemalto dari Belanda.

Apa yang lebih menarik, dokumen pintar bersaiz kad kredit atau debit tersebut turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tinggi bagi mengelakkan berlaku kerosakan atau aktiviti pemalsuan maklumat oleh sindiket jenayah.
Ini termasuk rahsia butiran diri termasuk alamat rumah, informasi keluarga, cap jari, lesen memandu, pasport antarabangsa, nombor telefon peribadi, status kesihatan asas seperti jenis darah, risiko penyakit dan alahan.
Warga Arab Saudi wajib memiliki eID sebaik sahaja usia 15 tahun dan ia perlu diperbaharui setiap 10 tahun. Segala butiran disimpan Pusat Maklumat Kebangsaan di sini yang turut digunakan pihak polis untuk menjejak penjenayah.
Jika hilang, ia perlu diganti dalam tempoh 15 hari secara percuma bagi kes pertama, namun dikenakan denda tertentu sehingga 1,000 riyal (RM1,048) sekiranya hilang lagi buat kali keempat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA