TINDAKAN biadab Exco Sukan Selangor, Amirudin Shari gagal mengawal emosi hingga terkeluar perkataan ‘go to hell‘ atau dalam bahasa kasar bererti ‘pergi jahanam’ nyata amat mengecewakan
Ia diluahkan bukan di tepi jalan tetapi ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam baru-baru ini sekali gus menggambarkan warna perangai sebenar pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Bayangkan, mereka sanggup menuturkan perkataan itu dalam dewan yang mulia, semata-mata hanya kerana gagal mengawal perasaan dan tiada lagi modal untuk membalas pertanyaan cepumas wakil dari Barisan Nasional (BN).
Kata-kata kesat kurang ajar itu dihamburkan Amirudin selepas ditanya mengenai isu kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ‘diusir’ daripada Stadium Shah Alam sejak 2016 sebagai gelanggang tuan rumah The Red Giants.
“Apabila buka pintu rundingan, surat terbaharu yang saya terima daripada pihak FAS, mereka tidak mahu berjumpa dengan saya tetapi cuma mahu berjumpa dengan Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) untuk bincang.
“Mereka mahu menggunakan ia sebagai modal politik dan serang kerajaan dan memburukkan kerajaan negeri. ‘Go to hell’ kepada mereka, kita (kerajaan negeri) ada pelan sendiri untuk membangunkan bola sepak,” kata Amirudin.
Untuk rekod, sebelum ini, Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) telah menyerahkan memorandum yang mengandungi 15,000 tandatangan penyokong The Red Giants tetapi kepemimpinan Mohamed Azmin tidak peduli!
Timbalan Presiden PKR itu sebaliknya dalam senyap-senyap pula bertindak menswastakan stadium keramat dibina kerajaan BN tersebut dan mula dibuka sejak 1996 kepada syarikat tertentu konon demi memajukan sukan tersebut.
Manakala The Red Giants pula kini terpaksa bermain ihsan di Stadium Cheras di ibu negara sebagai gelanggang rasmi selepas tidak dibenarkan lagi bermain di Stadium Shah Alam oleh kerajaan Selangor yang diketuai oleh PKR.
Walau marah macam sekalipun, adab budi bahasa harus dijaga di DUN apatah lagi Amirudin merupakan Exco negeri. Namun apabila sanggup mengeluarkan perkataan kasar dan kesat itu, ia adalah sesuatu yang amat dikesali.
Amiruddin menjawab sedemikian hanya kerana berang dengan soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Budiman Mohd. Zohdi yang ingin tahu sampai bila kemelut bola sepak di Selangor akan berpanjangan.
Bukan hanya Budiman, malahan jutaan penyokong tegar pasukan Selangor juga ingin tahu, maka sila jawablah secara berhemah serta menggunakan akal yang waras, bukan dengan tampil mengeluarkan kata-kata jelik.
Bayangkan jika pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat itu adalah pemimpin BN, sudah pasti ia akan menjadi berita besar bahkan mungkin Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad akan turut ‘tumpang’ memberikan komen.
Memang Mahathir akan sentiasa mencari peluang keemasan untuk eksploitasi sebarang berita, justeru kalau situasi itu berlaku dalam kalangan pemimpin BN sendiri, beliau akan pasti mengambil kesempatan itu sebaik mungkin.
Itu baru ditanya mengenai isu sukan, Amiruddin sudah melenting. Ia menunjukkan beliau memang bukan seorang profesional dan lagi teruk sebagai cepat melatah. Jangan ikut macam perangai Mohamed Azmin sebelum ini.
Menteri besar itu melakar sejarah tersendiri apabila tergamak hina The Red Giants dengan meminta pasukan Selangor untuk cuba bermain di kawasan padang pasir seperti dialami oleh skuad bola sepak kebangsaan Iraq.
Betapa ceteknya Mohamed Azmin kerana walaupun Iraq dilanda perang, namun ia mempunyai 19 buah stadium bola sepak yang moden dengan Stadium Al-Shaab adalah paling tua. Ia masih digunakan sejak 6 November 1966.
Jadi kepada semua penyokong pasukan bola sepak Selangor, kalau sudah disuruh ‘go to hell‘, maka apa ditunggu lagi, lepas ini kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PKR pun eloklah berkubur sahaja ‘go to hell‘ juga.
Kalau isu kecil melibatkan maruah pasukan bola sepak negeri sendiri pun tidak boleh diselesaikan, apatah lagi isu lain yang lebih besar. Elok tukar sahaja pentadbiran kerajaan Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.
Ia bukti jelas kerajaan negeri yang diketuai PKR dan dibantu DAP adalah kerajaan yang bongkak dan sombong. Semalam, Sultan Selangor pun murka ketika merasmikan sidang DUN kerana masalah air yang belum selesai.
Justeru kepada jutaan rakyat Selangor tunggu apa lagi? Bila lagi hendak jahanamkan kerajaan PH yang bongkak ini. Inilah masanya. Jom UBAH… Cukup ini kalilah! Ayuh undi BN pula!!! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA